Tuesday, October 25, 2016

Cerita 25 Oktober 2016.

Bismillahirrahmanirrahim.

***

1- Emak.

Rumah yang kami duduki sekarang ini merupakan rumah peninggalan arwah datuk belah emak, yang kami gelarkan sebagai Ayahtuk Haji Harun, yang merupakan bekas Imam Masjid Besar Pasir Mas. Orang tua-tua di pekan ini mengenali emak sebagai Cikgu Yah anak Tok Imam Haji Harun. Begitulah kisahnya.

Rumah ini sudah lama. Daripada zaman rumah kayu yang berhalamankan kebun pisang di belakang, perlahan-lahan ayah dan emak ubahsuai menjadi lebih baik. Menjadi rumah batu yang belakangnya semua disimenkan, kerana kawasan belakang kawasan tanah rendah, jadi rumah kami sering naik air ketika banjir. Alhamdulillah kini, kami selesa mendiami rumah ini seadanya. Tidaklah besar mana, cukuplah kami tinggal dengan selesa.

Di sebelah rumah lama ini, ada sebuah rumah daripada beberapa buah rumah lain yang merupakan rumah kawan baik emak sejak kecil. Childhood friend, yang kekal hingga ke hari ini. Usia emak menjangkau 60 tahun pada tahun ini, manakala kawan emak yang saya panggil Che Ros itu muda setahun; 59 tahun.

Mereka sangat akrab, hinggakan selalu sangat kami bertukar juadah dan lauk, tanpa mengira musim, puasa atau tidak, raya atau tidak, ada sahaja lauk lebih, dihulurkan kepada Che Ros. Che Ros juga begitu. Malah ada masanya jika kekurangan bahan masakan, pantas sahaja emak melaung memanggil nama Che Ros di seberang pagar sana nun, membuat pinjaman kecemasan.

Seperti mana Che Ros mengenali kami semua adik-beradik, kami juga tahu serba-sedikit mengenai keluarga Che Ros yang juga mendiami rumah tinggalan keluarga. Che Ros, paling terbaru, tinggal di rumah itu bersama suaminya, yang saya panggil Pak Cik Arif dan anak lelaki mereka, Din.

Pak Cik Arif bekerja sebagai pemandu kereta sewa. Saban pagi, saya dikejutkan dengan deruman enjin kereta sewanya. Subuh masih banyak baki waktunya, hari masih dinihari yang gelap, namun beliau sudah bersiap-sedia mahu keluar mencari rezeki buat keluarganya. Pernah juga ketika sekolah menengah dahulu, emak cadangkan saya ke sekolah di bandar Kota Bharu itu menaiki kereta sewa Pak Cik Arif, namun saya tolak dengan baik untuk menaiki bas bersama rakan-rakan.


***

2- Ayah


Beberapa bulan lalu, melalui corong speaker masjid yang kedengaran jelas dari rumah, saya mendengar setiap butir patah mesyuarat yang dikendalikan selepas solat Maghrib, oleh Tuan Imam mengenai pelancaran Badan Khayrat Kematian. Beberapa nama disebut dan diundi, dan saya tersengih mendengar nama ayah turut dicalonkan, bahkan mendapat undian tertinggi hingga beliau akhirnya dilantik menjadi Pengerusi badan tersebut.

Beberapa hari kemudian, suara Ayah pula kedengaran di corong microphone, memberikan taklimat tentang badan ini, setelah ahli jawatankuasa dilantik dan organisasi badan ini dibentuk. Sekali lagi saya tersenyum, bangga dengan Ayah yang jelas menjadi kepercayaan jemaah masjid untuk menguruskan amanah ini.

Oleh kerana banyak masa terluang ketika cuti semester itu, saya membantu ayah mengemaskini senarai ahli yang mendaftar. Sambutan yang diterima sangat menggalakkan, tidak menang tangan ayah dibuatnya. Lantas saya menghulurkan tangan untuk menaip senarai nama dan menyelaraskan maklumat badan ini.

Apa yang saya tahu, yuran adalah sebanyak RM60 seorang, untuk setahun. Badan ini akan bertindak sebagai tunjang utama menguruskan jenazah andai ahli tersebut meninggal dunia. Ia meliputi perkara-perkara wajib dan asas ketika berlaku kematian, contohnya memandikan jenazah, mengkafankan jenazah, mensolatkan jenazah dan proses menggali serta menyemadikan jenazah. Justeru, ahli qaryah sangat disarankan dan digalakkan untuk menyertai badan ini, namun tanpa sebarang paksaan.

Saya senang melihat Ayah begitu gembira melaksanakan amanahnya dengan begitu berdedikasi dan berwibawa.


***

3- Che Ros dan Pak Cik Arif

Selasa, 25 Oktober 2016, jam 1.40 am.

Menurut emak, telefonnya berdering. Emak dan ayah kedua-duanya terjaga, demi panggilan pada waktu itu yang jarang sekali berlaku. Rupanya Che Ros yang menelefon, memaklumkan kembalinya Pak Cik Arif ke pangkuan Ilahi jam 11 malam, 24 Oktober 2016.

Malam itu jujurnya saya tidur lewat. Melewati jam 12 malam dan memasuki hari baru (25 Oktober), saya baru selesai menghabiskan episod terbaru RunningMan, kemudian dilanjutkan dengan membuat tugasan untuk subjek Criminal Procedure hingga jam 3 pagi. Dari bilik yang saya duduki, dapat saya dengar bunyi  pergerakan keluar masuk kereta yang datang dari rumah Che Ros, namun saya tidak ambil pusing mengenangkan pasti ada sebabnya yang tersendiri.

Tanpa saya sangka, itulah sebabnya. Pemergian Pak Cik Arif.

Subuh esoknya, barulah saya dimaklumkan bahawa Pak Cik Arif sudah tiada jam 11 malam semalam. Rupa-rupanya bunyi kereta yang keluar jam 12 malam itu ialah Che Ros dan Din yang ke hospital, dan mereka pulang membawa jenazah pada jam 2 lebih.

Saya dengar semuanya, namun saya tidak ambil tahu. I suddenly got goosebumps just by thinking of that :(

***

Libang-libu hati ini. Macam-macam yang saya fikirkan. Saya sudah lupa, bilakah kali terakhir saya nampak Pak Cik Arif. Mungkin kali terakhir pada cuti AidilAdha yang lalu, ketika mereka berkunjung ke rumah. Masha ALLAH. Jika benar, ketika itu beliau masih sihat, gagah perkasa seperti biasa. Tapi iyalah - sihat bukanlah alasan untuk tidak mati.

Bagi pihak emak, rakan baiknya kehilangan suami yang dikasihi. Entah bagaimana rasanya emak, untuk menenangkan hati sang sahabat.

Manakala Ayah, setelah dilantik menjadi Pengerusi Badan Khayrat Kematian, ini merupakan kes pertama yang Ayah perlu uruskan, bermula daripada memandikan jenazah hinggalah urusan pengebumiannya selesai. Sungguhlah, siapa sangka kematian pertama yang Ayah akan uruskan selaku Pengerusi Badan Khayrat ini merupakan jenazah jiran sebelah rumahnya sahaja, yang pada ketika arwah Pak Cik Arif mendaftar, beliau masih sihat wal afiat.

Menurut emak, sudah beberapa hari Pak Cik Arif tidak sihat. Sakit yang berkaitan paru-paru. Ada juga emak berniat untuk menziarah, namun ditangguh kerana kesihatan Ayah sendiri tidak mengizinkan. Emak kata, tunggu ziarah di rumahlah, senang sahaja sebelah-menyebelah. Tapi, siapa nak tahu pulangnya arwah Pak Cik Arif sebagai jenazah, dek kerana nyawa yang dipinjamkan sudah kembali diambil Tuhan?

ALLAH.

ALLAH.

ALLAH.

Berdebar. Sungguh berdebar. Arwah masih muda usianya, jika dibandingkan dengan emak dan ayah. Pertengahan 50-an, berbanding emak dan ayah dan sudah mencecah 60-an. Jika berlaku kematian yang dekat seperti ini, sungguh saya seriau memikirkan ayah bonda yang dikasihi. Benar, umur bukanlah syarat, namun pantas sahaja ia menjadi satu kemungkinan.

***

Semoga ruh Allahyarham Pak Cik Arif dikumpulkan dalam kalangan orang yang mendapat keredhaan dan keampunanNya.
Semoga Che Ros sekeluarga tabah menghadapi kehilangan ini.
Semoga kita semua dipertemukan semula di negeri abadi, direzekikan menikmati syurgaNya, aamiin insha ALLAH.


Rabbighfirli waliwa lidayya, warhamhuma kama robbayaani soghiro.
Aamiin.



***

Wallahu'alam, wassalam.



...



p/s : Dalam perkembangan lain, hari ini juga ada cerita tentang kebakaran di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu, yang dengar katanya mengorbankan jiwa. Semoga ditabahkan jiwa semuanya.

0 love letta(s):

 

♥ Maryam Jamilah's ♥ Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template