Friday, May 13, 2016

"Tarik aku sama denganmu."

Bismillahirrahmanirrahim.

8 Mei 2016. Ahad.

Selepas Subuh, saya mengemas barang. Bersiap-sedia mahu pulang ke UIA. Namun teringatkan janji bersama Abang Mat si abang sulung untuk ke PBAKL, saya rileks sekejap. Baca kes untuk case review Evidence, dan kemudiannya tertidur.

Sedar-sedar, Kak Nori si kakak ipar sulung datang kejutkan. Dia nampak kalut, wajahnya nampak sedikit berserabut. Dalam mamai, saya cuak.

"Kenapa?" saya tanya.

"Tak tengok Whatsapp ke? Mak cakap apa pasal anak Ijat?"

Perlahan minda saya memproses kata-katanya. Telefon saya capai. Tiada signal Wi-Fi. Whatsapp terbaharu di group famili ialah oleh Ijat jam 8.30 am tadi, mengatakan Kak Aimi sudah masuk ke labour room.

'Awalnya.' detik hati saya sendiri, mengingatkan 19 Mei merupakan tarikh due untuk anak ke-4 Ijat dan Kak Aimi nun di Langkawi sana.

"Kenapa dengan anak Ijat?" saya aktifkan mobile data. Whatsapp masuk bertalu-talu. Whatsapp daripada emak jam 9 pagi menghalau seluruh rasa kantuk.

'Anak Ijat sudah dilahirkan. Tapi meninggal kerana placenta putus. Mak dan ayah otw ke Langkawi dengan kereta.'

Sekadar itu emak maklumkan. Kak Nori kemudian bergegas mengejutkan Abang Mat. Saya masih di pembaringan, sedikit keliru; adakah ini realiti atau saya masih lagi bermimpi di pagi Ahad.

Dari bilik saya, kedengaran suara Abang Mat yang terkejut. Abang sulung kami itu bingkas bangun dan menelefon Ijat. Saya bergegas ke biliknya, berdiri di muka pintu yang terbuka dan menelinga perbualannya dengan Ijat. Kira-kira 3 minit kemudian, panggilan ditamatkan. Saya dan Kak Nori menunggu cerita Abang Mat.

Namun Abang Mat cuma bangkit dari katil dan berjalan ke bilik air.

"Kenapa?" tanpa tertahan, saya bertanya.

"Baby dah tak ada sejak dalam perut lagi. Bukan meninggal masa bersalin." itu sahaja ucap Abang Mat, kemudian menghilang ke kamar mandi. Wajah yang selama ini saya pandang sama ada berona serius atau ceria, kini dihurung syahdu. Hati lelaki kental itu juga tersentuh, apatah lagi hati kami para wanita ini.

Saya juga berlalu ke bilik air, membersihkan diri. Seketika kemudian, saya turun ke tingkat bawah, menyertai Abang Mat dan Kak Nori di meja makan, sedang menghadap komputer. Sedang memeriksa tiket kapal terbang rupa-rupanya. Abang Mat sedang bercakap dengan emak di telefon.

"Adik nak pergi jugak." terucap dari bibir saya, setelah menimbangkan baik-buruknya membuat permintaan sebegitu kepada si abang. Bukan apa, perbelanjaan tiket pastinya akan ditanggung Abang Mat, jadi bukan calang-calang boleh membuat permintaan untuk turut serta ke Langkawi secara tiba-tiba.

Abang Mat pandang saya. Kak Nori juga.

"Bukan apa, adik rasa adik ingat lagi jalan di Langkawi tu. Jalan nak ke sekolah budak-budak tu, rumah pengasuh, rumah Ijat, hospital Ijat, semua adik ingat lagi. Jadi kalau adik ada kat sana, kot la boleh membantu sedikit sebanyak." saya memberikan rasional.

Dipendekkan cerita, akhirnya tiket atas nama saya ke Langkawi dibeli oleh kakak kedua saya, Kak Tie dan tiket pulang ke Kuala Lumpur ditanggung oleh Abang Mat. Abang kakak sudah berkeluarga, justeru agak susah untuk mereka langsung ke sana meninggalkan keluarga masing-masing. Tambahan pula saya pun masih ingat laluan di Langkawi setelah berkunjung ke sana awal tahun baru-baru ini, jadi mereka bersetuju untuk meghantar saya sebagai wakil mereka.

Flight yang dijadualkan pada jam 3.40 malangnya ditangguhkan ke 4.30 petang. Maknanya, saya terlepas peluang untuk melihat anak syurga buat pertama dan terakhir kalinya, kerana Ijat memaklumkan bahawa bidadari kecil itu akan dikebumikan selepas Asar. Kerana flight delay, saya hanya akan tiba di Langkawi jam 5.30 petang, dan saat itu, segala-galanya pasti telah selesai. Sedikit kesal di situ :(

Saat Abang Mat menurunkan saya di lapangan terbang, sebak mencengkam dalam dada. Pedih. I'm all alone sekarang. Everything feels like the first time. Pengalaman kehilangan yang sebegini rupa buat pertama kali. Pengalaman ke Langkawi melalui kapal terbang juga pertama kali. Juga pengalaman pertama menaiki Malindo Airs. Juga pengalaman pertama saya untuk berhadapan dengan Ijat selepas kehilangan puterinya.

Sampai di Langkawi International Airport, saya dimaklumkan Ijat untuk tunggu seketika sehingga pengasuh Along datang menjemput. Kak Yu datang kira-kira 10 minit kemudian, bersama Along, Khadijah dan Imad di dalam kereta.

Masuk ke dalam kereta, saya terpaku seketika dengan ucapan pertama Khadijah kepada saya,

"Che Sue, ibu dah beranak. Tapi baby dah mati."

"Meninggal." Kak Yu betulkan penggunaan kosakata Khadijah. Saya senyum tawar tanpa perisa. Indahnya menjadi kanak-kanak, kau belum faham sakitnya kehilangan.

Kak Yu menghantar saya dan anak-anak saudara yang baru kehilangan adik baru mereka ini ke rumah Ijat di Padang Mat Sirat. Ijat maklumkan bahawa dia akan menjemput emak, ayah dan kakak saya yang seorang lagi; Kak Yah di pengkalan feri dan langsung ke hospital menziarahi Kak Aimi. Saya diminta mengemaskan rumahnya yang ditinggalkan secara tergesa-gesa awal pagi tadi.

Ketika mengemas, ralit melayan anak-anak kecil ini. Sedikit pun tidak terpeta kesedihan di wajah mereka. Sesekali, wajah polos itu saya pandang sayu. Bagaimanakah perasaan mereka bila mereka mulai memahami tentang hakikat ini?

Tiba-tiba Along berlari ke beg sekolahnya yang diletakkan berdekatan pintu.

"Along ada hadiah untuk Imad!" suaranya ceria. Mendengarkan kata-katanya, Khadijah turut meluru ke arah beg sekolahnya pula, bersebelahan beg sekolah Along.

"Khadijah pun!"

Saya cuma memandang dan menunggu bersama-sama Imad, sedikit teruja ingin melihat apakah hadiah yang mereka maksudkan.

Abang dan kakak Imad itu, masing-masing mengeluarkan dua biji oren daripada beg mereka.

"Mana Along dapat buah oren ni?" tanya saya sambil menyambut huluran mereka, meminta oren itu dipotong.

"Tadi, dekat masjid." beritahu Along. Saya segera mengerti. Maksudnya, oren itu mereka dapat ketika majlis pengebumian adik mereka tadi.

"Along cium adik?" saya bertanya sekali lagi, meskipun di dalam kereta tadi Kak Yu sudah memberitahu. Along mengangguk.

"Khadijah tak." Along tunjuk kepada Khadijah. Saya memandang Khadijah.

"Kenapa tak cium adik?" saya bertanya perlahan. Kalaulah dia tahu bahawa itulah satu-satunya peluang yang dia ada untuk menyentuh dan mencium adiknya....

Khadijah tersengih cuma. Saya pantas memahami. Apalah anak kecil seusia 4 tahun ini mengerti, bukan?

Saya lantas ke daput, diikuti rapat oleh 3 beradik itu. Mahu makan buah oren!

Maghrib menjelma dan Ijat masih belum tiba. Melalui WhatsApp group famili, Ijat memberitahu bahawa dia menjemput ayah, emak dan Kak Yah lalu langsung ke hospital untuk menziarahi Kak Aimi, dan sempat singgah di kubur si kecil yang baru dikebumikan tadi.

Khadijah saya mandikan mula-mula, kemudian Along saya minta mandi bersama Imad, sementara saya menggoreng cucur ikan bilis. Ketika itulah Ijat pulang, membawa bersama ayah, emak dan Kak Yah. Sedikit berdebar untuk berdepan dengan Ijat, kerana saya tidak tahu untuk memberikan reaksi yang bagaimana. Melihatkan semua orang berkelakuan seperti tiada apa-apa yang berlaku, saya juga cuba untuk beraksi biasa. Saya menyalami Ijat, dan memeluknya dari sisi, seperti biasa. Namun sempat sayu menyelinap. Doa sempat saya bisikkan di dalam hati, semoga abang tengah saya ini dikurniakan kekuatan untuk menghadapi ujianNya ini.

Sungguh, malam itu kami habiskan seperti biasa. Cuma bezanya emak masakkan nasi lembik dan ikan masin untuk Ijat bawa kepada Kak Aimi di hospital; makanan orang berpantang. Langsung tiada antara kami yang menyentuh isu yang boleh menggugurkan air mata atau perkara-perkara yang sewaktu dengannya. Barangkali kerana budak bertiga beradik itu pun ceria seperti biasa bilamana mengetahui kedatangan datuk dan nenek yang mereka kasihi. Langsung mereka lupa barangkali bahawa mereka baru sahaja kehilangan adik kecil yang selama ini dikandung ibu mereka.


9 Mei 2016, Isnin.

Along dan Khadijah ke sekolah seperti biasa. Malah, saya dan Ayah sempat ke pasar dan kedai bebas cukai berhampiran, membeli barangan dapur. Kedai bebas cukai di Langkawi ini, bukan sahaja ada barangan kulit, coklat dan barangan runcit, bahan-bahan basah juga ada. Sungguh, seperti tiada apa-apa yang berlaku dan kami seolah-olah datang ke sini semata-mata menziarahi Ijat sekeluarga, seperti bulan Januari baru-baru ini.

Tengah hari itu kami memasak lebih. Untuk besan emak, yakni mertua Ijat; iaitu ibu dan ayah Kak Aimi yang baru tiba dari Terengganu. Selepas menjemput Along dan Khadijah daripada sekolah, makan tengah hari dan solat Asar, Ijat dan mertuanya terlebih dahulu ke hospital. Kami pergi lambat sedikit untuk tunggu makanan Kak Aimi siap dimasak emak. Hari ini lauknya ikan selar bakar, yang ikan selarnya saya beli bersama ayah di Pasar Padang Mat Sirat pagi tadi.

Petang itu barulah saya berkesempatan menemui Kak Aimi. Sungguh wanita itu nampak tabah. Wad yang dihuninya merupakan Wad Bersalin, di mana kebanyakan katil si ibu akan ada bersebelahan dengannya katil si kecil. Ada yang lena di pangkuan ibu, ada yang enak menyusu. Namun Kak Aimi sendiri di katilnya, dan ada juga katil untuk si kecil, walau si kecilnya sudah enak bersemadi di sisi Pencipta. Namun wanita ini nampak tenang dan bersahaja, seperti biasa. Langsung tiada rona-rona kesedihan yang beliau tunjukkan. Barangkali tersimpan kemas di lubuk hati.

Kami berbual-bual seketika. Ada juga beberapa wanita lain yang datang menziarah, yakni pengasuh Along dan beberapa wanita yang turut mengenali Kak Aimi dan tahu mengenai berita kehilangan ini. Setelah mereka berlalu, tinggal Kak Aimi, emak, Kak Yah dan saya. Ayah dan Ijat berada di luar bersama si 3 beradik, kerana kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dibenarkan masuk. Ayah dan ibu Kak Aimi pula sudah pulang.

Kami berbual seperti biasa. Syukur saya hadratkan ke Ilahi kerana wanita ini masih mampu tersenyum, bahkan ketawa, malahan sesekali mencipta jenaka. Kami meninggalkan Ijat dan Kak Aimi apabila waktu melawat tamat, dan menuju ke bandar Kuah untuk mencari makan malam. Kami lalu di hadapan Masjid Aisha (di sebelah kiri jalan jika menuju ke pekan Kuah), tempat di mana si kecil itu disemadikan. Kami tidak singgah di kuburannya, memandangkan Maghrib hampir tiba. Malam itu kami habiskan di bandar Kuah, sebelum singgah sekali lagi di hospital, setelah Ijat mendapatkan kebenaran untuk membawa anak-anaknya berjumpa seketika dengan ibu mereka yang hampir dua hari tidak bersua muka.


10 Mei 2016, Selasa.

Pagi-pagi lagi kami berkemas. Flight saya jam 10 pagi ini, manakala emak, ayah dan Kak Yah merancang untuk menaiki feri pada waktu tengah hari. Kak Yah tidak dapat cuti lama, tambahan pula Ijat juga sudah merancang untuk pulang pada Khamis. Ada ibu Kak Aimi untuk menjaganya, jadi kami tidak perlu berasa risau.

Ijat menghantar saya ke lapangan terbang, bersama anak-anaknya. Selepas itu katanya dia mahu ke sekolah Along dan Khadijah untuk mengambil buku, kerana anak-anaknya yang berdua itu akan bersekolah di Terengganu selama Kak Aimi berpantang di sana.

Saya maklumkan pada Ijat bilamana saya sudah selamat memasuki kabin. Sempat dia membalas,

"Kirim salam pada pilotiah." katanya, merujuk kepada pilot wanita (Ijat menambah ta marbutah di belakang perkataan pilot, yang secara mudahnya membawa maksud pilot wanita). Seperti biasa, dia berlelucon. Namun tiada ketawa yang tercipta daripada saya, sebaliknya segaris senyum yang tiba-tiba saya rasa mata saya digenangi air.

Di lubuk hati saya, he was trying too hard. To show that he is okay, while he is actually not. To show that as if nothing happened, while actually something big has happened.

Ijat..... saya seru namanya perlahan sambil memandang bumi Langkawi yang perlahan-lahan mulai ditinggalkan. Sampai ke sudah tidak saya berbicara langsung dengannya tentang kehilangan puterinya itu. Hanya sesekali berbicara dengan emak, dan perbicaraan kami perlahan sahaja agar tidak sampai ke telinga Ijat. Bimbang hatinya tersentuh.

Saya tiba di Kuala Lumpur dengan seribu satu pengalaman baru. Kesedihan, kehilangan, kekuatan dan bermacam rasa lain; bergumpal di dalam hati, bercampur menjadi satu rasa yang sukar dimengertikan. Mahu menangis, tapi bimbang jika berlebihan, bakal membawa kepada tidak redha kepada ketetapanNya. Mahu berlagak biasa, tapi tidak mampu, kerana hakikatnya kami sekeluarga baru sahaja melalui perkara yang luar biasa.

Akhirnya saya serahkan segalanya pada Dia, yang mana saya yakin, semua antara kami juga lakukan yang serupa. Bukankah DIA itu Tuhan yang Maha Mengetahui segala sesuatu? Bukankah DIA itu Tuhan Yang Esa, yang tiada apa pun yang dapat menandingi kekuatanNya? Maka serahkanlah segalanya pada Dia. Kami cuma mampu meminta agar sisa-sisa kekuatan kami ditambah, agar kami mampu menghadapi segalanya, walaupun payah.

Buat si dia yang Tuhan pinjamkan seketika - walau cuma 38 minggu di dalam perut sang ibu, tanpa sempat pun menatap dunia dan seluruh isinya, tanpa sempat pun menghirup udara dunia; damailah kau di sana, sayangku. Barangkali sekarang kau sedang bergembira di syurga. Barangkali sekarang kau sedang tersenyum di sisi Pencipta. Semoga berjodohan kita kelak, agar bisa kami tatap wajahmu, pangku tubuhmu, dakap jasadmu dan menyentuh kamu sehabis mahu - melakukan segala sesuatu yang tidak berezeki untuk kita lakukan di dunia. Andai berpeluang, tarik aku nanti - untuk sama-sama berada di syurga denganmu, wahai bidadari kecil.

Beruntungnya engkau - langsung ke syurga. Tidak perlu dinodai kotoran dunia, tidak perlu dihantui takut menghadapi dunia-dunia lain. Subhanallah.

Terlalu banyak ibrah yang boleh kami kutip daripada peristiwa ini. Betapa terujinya hati-hati yang selama ini dipasak janji untuk setia dengan Ilahi. Betapa terujinya jiwa-jiwa si ibu dan ayah yang sudahpun merasa teruja untuk menyambut ketibaan ahli keluarga baru, dengan segala persiapan sedari dulu. Betapa terujinya insan-insan sekeliling, untuk menyalurkan sokongan tanpa jemu, untuk menghantar doa tanpa sebu.

Semoga semuanya dalam lindungan ALLAH sentiasa, tidak kiralah di dunia manapun kita berada.

AlFatihah untuk bidadari kecil itu, yang dikebumikan di Masjid Aisha, Kuah pada 8 Mei 2016.
Bumi Langkawi won't be the same anymore. We left something precious there.


Wallahu'alam, wassalam.

0 love letta(s):

 

♥ Maryam Jamilah's ♥ Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template