Friday, February 13, 2015

Terima kasih ;)

Bismillahirrahmanirrahim.

Sebak melihat gambar-gambar yang dikongsikan oleh mereka yang berada di kediaman TGNA di Pulau Melaka. Puluhan ribu manusia membanjiri kawasan tersebut, bahkan lalulintas juga ditutup secara total. Khabarnya, orang ramai yang hendak memberikan penghormatan terakhir kepada TGNA pun tidak boleh langsung ke rumah beliau, sebaliknya hendaklah memarkirkan kenderaan di Stadium  Sultan Muhammad IV dan seterusnya akan dibawa menaiki shuttle bas menuju ke kediaman TGNA.

Di semua laman sosial yang boleh saya akses - Twitter, Facebook dan Instagram, penuh timeline dengan ucapan yang baik-baik, yang begitu menyanjungi Tok Guru, yang begitu terkesan dengan kepulangan beliau kepada Tuhan. Pada mulanya, ingin saya screenshot satu persatu dan tampal di sini sebagai bukti, bahawa bukan sahaja Malaysia, bahkan seluruh dunia turut berdukacita dengan pemergian TGNA. Namun, banyak. Terlalu banyak. If you don't believe me, go and find it yourself. Tak susah mana pun. Search sahaja #TGNA , atau Tuan Guru Nik Abdul Aziz, pasti - saya jamin, semua berita yang baik sahaja tentangnya.

Saya gembira melihat semua itu. Mahu rasanya saya ucapkan terima kasih kepada semua yang sudi memberikan komen yang baik kepada TGNA. Kepada ribuan yang hadir di majlis pengebumian TGNA - yang jauh mahupun dekat, yang berhabis duit membeli tiket kapal terbang terawal, yang mengerah tenaga berjalan kaki dan bersesak-sesak demi melihat TGNA buat kali terakhir, yang meluangkan masa berharga demi memberikan penghormatan kepada TGNA,jujur saya katakan, ingin sahaja saya lafazkan terima kasih kepada kalian satu per satu.

Saya tidak biasa dengan situasi ini. Saya tidak biasa melihat TGNA dihargai ramai. Saya tidak biasa bilamana seluruh dunia cuma bercakap hal elok-elok sahaja tentang beliau. Saya tak biasa.

Apa yang saya biasa, segala umpat keji dan caci maki yang dilempar kepada TGNA. Tidakpun, segala tuduhan mengarut lagi melalut serta fitnah tak masuk akal yang dilemparkan sentiasa secara melulu oleh pihak-pihak tertentu.

Saya tak biasa melihat TGNA disanjung tinggi oleh orang ramai, kerana sudah terlalu biasa melihat insan sehebat beliau diperlekeh sewenang-wenangnya oleh mulut-mulut lancang yang cuma tahu sembang kencang.

Saya puas. Puas melihat kebenaran akhirnya tersingkap. Biarpun semasa hayatnya beliau dikeji dihina dicaci dinista, namun akhirnya, meskipun hanya selepas beliau tiada, satu Malaysia begitu menghargai beliau. Satu Malaysia tidak lagi segan mengucapkan sayang melafazkan kagum pada TGNA terhormat. Syukur, mereka akhirnya melihat sinar gemerlapan sebutir permata, walaupun hakikatnya permata itu telahpun tiada.

Di sebalik rasa sedih, kehilangan dan sayu dengan pemergian TGNA, namun ada rasa senang mendiami di sebahagian daripada hati. Senang bilamana melihat, TGNA akhirnya mendapat penghormatan dan pengiktirafan yang sepatutnya beliau terima, meski hanya apabila di penghujung usianya.

Dan saya yakin, di dunia saya, beliau pasti lebih selesa. Bersemadilah dengan aman, TGNA. Semoga ketemu di alam sana nanti. Dan jika ada rezeki - di syurga Firdausi.





***
Terima kasih, untuk satu kematian - yang menghidupkan ribuan, bahkan mungkin jutaan yang lain.


Wallahu'alam, wassalam.

0 love letta(s):

 

♥ Maryam Jamilah's ♥ Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template