Tuesday, February 3, 2015

Pok Su Mezoh Dalam Kenangan.

Bismillahirrahmanirrahim.

***

"Bagi jemaah yang tidak sibuk selepas ini, diminta tunggu sebentar untuk menunaikan solat jenazah."

Bagi yang tinggal berdekatan dengan masjid seperti kami sekeluarga, pengumuman oleh tuan imam sebelum menunaikan solat fardhu berjemaah bukanlah suatu yang pelik, kerana memang kerap ada pengumuman sebagaimana demikian.

Namun, rasanya amat pelik dan janggal, bilamana solat jenazah yang akan ditunaikan itu adalah untuk Aytuk saya. Haji Hamzah bin Idris, atau lebih mesra disapa sebagai Pok Su Mezoh oleh pihak-pihak yang mengenali beliau.

Setelah lebih setahun terlantar di katil, tanpa mampu menguruskan diri sendiri, Aytuk akhirnya dijemput pulang menghadap Ilahi.

***
19 Januari 2015, 12.15 am.

"Kamal! Oo Kamal!" kedengaran suara Mek, memanggil ayah.

"Gapo Mek?" saya menghampiri Mek, sementelah suaranya kedengaran cemas.

"Acu panggil Ayoh, bia dio mari kelih Aytuk ni, ado lagi ko dok." sedikit sayu beliau bersuara. Saya menghampiri katil Aytuk. Tiada lagi desah nafas kasar yang kedengaran sejak awal hari ini. Dadanya juga sudah tidak lagi berombak. Matanya sedikit terbuka, lagaknya seperti tidur lena sahaja. Sepi. Saya mulai cuak. Hampir berlari, saya mencari Ayah di luar, yang sedang mengunci pintu rumah.

"Ayoh, Mek panggil."

"Bakpo?" riak wajah Ayah berubah pantas.

"Dio suruh kelih, Aytuk ado lagi ko dok." pantas Ayah melangkah ke katil Aytuk. Lengan ayahnya itu, Ayah usap. Di pergelangan tangan, beliau terhenti. Mencari nadi yang saya rasa, sudah berhenti.

"Acu panggil Ijat." arah Ayah, merujuk kepada Dr. Ijat, abang saya yang sudah tidur. Ijat juga bingkas bangun dan datang memeriksa keadaan Aytuk.

Agak lama Ijat mengambil masa untuk akhirnya melafazkan kalimah untuk mengesahkan apa yang kami khuatiri itu.

"Hmm, takdok doh ni." perlahan suara Ijat.

It must be hard for him to announce such a crucial matter, walaupun beliau sememangnya sentiasa berdepan dengan kematian di hospital, bahkan tidak mustahil setiap hari beliau mengisytiharkan kematian pesakit. Namun, pengisytiharan kali ini - bersaksikan Mek, Ayah dan saya, pastilah antara yang paling payah pernah dilafazkan oleh Ijat.

Kami seterusnya menguruskan serba sedikit jenazah Aytuk sementara menanti yang lain tiba. Lewat malam begini, hanya saudara terdekat yang dihubungi. Malam itu juga, hingga ke angka 3, Ayah dan adik-beradiknya bermesyuarat tentang cara menguruskan jenazah - and to think about it, this is our very first time in managing such situation. A situation of death. Sebab sebelum ni, belum pernah ada ahli keluarga terdekat yang meninggal dunia, yang kami perlu uruskan jenazahnya dari A hingga ke Z.

Lewat jam 3 pagi, saya baring di sisi Mek, memenuhi permintaan Mek. Di sebelah kanannya, jenazah Aytuk yang masih di katil, dipandang Mek. Saya beritahu Mek, pusinglah menghadap ke sebelah kanannya, jangan risaukan saya di sebelah kirinya ini. Esok malam, sebelah malamnya sudah akan kosong. Katil itu bakal tidak berpenghuni lagi. Dan Mek akur, mengiring ke kanan, tidur menghadap Aytuk buat kali terakhir.

Jam 7 pagi, saya bertolak ke lapangan terbang, menjemput abang dan kakak serta keluarga masing-masing yang pulang mendadak, sejurus mendapat tahu berita pemergian Aytuk. Sampai di rumah, tetamu mulai memenuhi ruang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Aytuk. Lebih kurang jam 11, peralatan untuk memandikan jenazah yang kami pinjam daripada masjid berdekatan, tiba.

Pertama kali menyaksikan cara kemenyan diasapkan. Pertama kali melihat cara pengurusan jenazah yang real di depan mata. Syukur Aytuk mempunyai ramai ahli keluarga lelaki, justeru semuanya diuruskan oleh anak cucu sahaja. Ayah dan adik-adiknya, serta cucu-cucu lelaki dan cucu-cucu menantu yang ramai, memudahkan dan mempercepatkan urusan. Sekejap sahaja, Aytuk selesai dikafankan dan selepas direnjis air bunga mawar, pak cik yang mengetuai upacara memandi dan mengafankan jenazah akhirnya memberikan peluang kepada kami untuk mencium wajah arwah Aytuk buat kali terakhir.

Dan inilah merupakan momen yang paling menyentuh hati. Tiada lagi suara-suara yang berbual tentang arwah. Tiada lagi bunyi-bunyi kedengaran - semuanya seolah sepi. Hanya esakan yang sesekali pecah daripada kami - terutamanya cucu-cucu perempuan, yang tidak dapat menahan sebak. Ayah mendahului, wajah Aytuk dipandang lama. Barangkali banyak yang beliau ucapkan pada Aytuk, namun cuma bergema di laman hati. Kemudian Ayah tunduk mencium wajah itu, lalu berlalu ke ruang tamu. Diikuti adik-adik Ayah, cucu-cucu lelaki Aytuk, dan seterusnya cucu-cucu perempuan Aytuk.

Giliran saya - sungguh mengundang syahdu. Wajah Aytuk yang persis ketiduran - saya renung. Di dalam hati, saya lafazkan kata-kata maaf kerana tidak berada di sisinya ketika beliau habis hayatnya, dan saya berharap untuk bertemunya nanti di alam sana, sementelah kita semua akan kembali kepadaNya. Dahi Aytuk saya kucup dengan nafas ditahan. Bimbang air mata tumpah mengenai jenazah. Tidak puas, kedua-dua belah pipinya juga saya kucup. Buat kali terakhir. Selepas ini tiada lagi peluang sebegini. Selepas ini tiada lagi wajahnya untuk saya tatap. Selepas ini tiada lagi senyumannya untuk saya lihat. Selepas ini tiada lagi pandangannya yang memandang saya. Wajahnya saya lihat sekilas, sebelum bingkas bangun masuk ke bilik berdekatan, gagal menahan air mata.

Azan Zuhur hampir berkumandang, dan keranda juga telah tiba. Kenderaan terakhir Aytuk di dunia - yang bakal membawa Aytuk ke rumah barunya di alam sana. Aytuk dibawa ke masjid, untuk solat jenazah, selepas solat Zuhur. Selepas itu, terus ke kubur, dan Aytuk tidak akan kembali lagi ke rumah.

Anak cucu memenuhi kubur. Saya sangat terharu melihat jenazah Aytuk diuruskan oleh sanak-saudaranya hingga ke dalam liang lahad. Tidak perlu kepada tangan luar untuk mengusung jenazah Aytuk, tangan-tangan darah dagingnya sendiri sudah lebih daripada mencukupi. Disebabkan terlalu ramai lelaki, saya tidak berpeluang melihat jenazah Aytuk dibaringkan di dalam liang. Selepas itu, cucu-cucunya termasuk beberapa rakan-rakan sekampungnya bergilir-gilir mengambus tanah, meninggalkan Aytuk di kediaman barunya. Hubungan kami putus secara total. Kafan yang menjadi pakaian baru Aytuk semakin hilang dari mata, dan akhirnya Aytuk selamat disemadikan. Aytuk kini berada di dunia lain, meninggalkan kami masih di sini.

Talkin mulai dibaca, dan sebak kembali beraja. Saya didik hati supaya redha - tambahan pula Aytuk pergi dalam keadaan baik, walaupun kami langsung tidak menyangka beliau akan meninggalkan kami malam itu.

Berat rasa kaki untuk melangkah pergi. Tidak sampai hati untuk meninggalkan Aytuk sendiri. Walhal itu aturan dunia, lumrah yang hidup pastilah mati. Bahkan syarat mati itu bukannya sakit, atau sihat, tapi hidup. Untuk mati, mestilah hidup. Dan kerana kita hiduplah, kita akan mati.

Kami balik ke rumah, mahu bersiap-siap pula untuk tahlil malam ini. Sungguh, hati ini hiba melihatkan katil yang selama setahun lebih ini Aytuk diami, kini kosong, tersadai sepi. Tidak berpenghuni. Bagai terbayang Aytuk terbaring di situ setahun kebelakangan ini. Bagai terbayang detik-detik membantu Ayah menguruskan Aytuk sedikit masa dulu. Bagai terbayang semuanya. Dan kini, beliau telah tiada.





***

Semoga tenang di sana, Aytuk sayang. Terima kasih, menjadi kenangan hidup yang indah buat adik. Adik pernah menyimpan harapan, untuk tunjukkan pada suami Adik nanti, betapa comelnya Aytuk dan betapa adik bangga punyai Aytuk sebagai datuk yang sangat adik kasihi dan hormati, namun Aytuk terlebih dahulu pergi.

Terima kasih - menjadi sahabat Adik yang membesarkan adik. Bawa adik bersiar-siar mengelilingi kampung, mengenali manusia, haiwan dan tumbuhan, Memperkenalkan adik kepada tali air, sawah padi dan roti Benggali. Bagai masih terbayang - Aytuk mencangkung di sudut pagar, mencari buah salak yang masak untuk Adik, di sebalik helaian daun. Bagai masih terbayang - Aytuk menghunus parang membelah buah kelapa muda untuk Adik. Bagai masih terbayang - tangkasnya Aytuk memanjat pokok dokong untuk Adik.

Terima kasih - kerana selalu tersenyum manis. Terima kasih, kerana selalu membuatkan adik ikut tersenyum, bahkan selalu Adik tergelak dengan aksi Aytuk. Terima kasih, kerana menjadi Aytuk Adik. Yang membonceng Adik naik motosikal lama, yang menangguk ikan di parit untuk Adik, yang menjadi hero dan kekasih Adik suatu ketika dulu. Terima kasih.

Maaf, Aytuk - Adik bukanlah cucu terbaik. Kadang ingat, kadang lupa pada Aytuk. Besar jasa Aytuk pada Adik, namun Adik tiada di saat hayat Aytuk sudah berpenghujung. Adik tiada untuk menggenggam tangan Aytuk yang dulunya tangan yang sama memimpin Adik di batas-batas sawah Slow Machang, Adik tiada untuk mengusah wajah Aytuk yang merupakan wajah yang sama yang memberikan senyuman dan ketenangan kepada Adik. Maaf, Aytuk.

Semoga tenang di sana. Semoga dalam rahmat dan lindunganNya. Semoga ALLAH anugerahkan kita untuk bertemu di syurga. Semoga diampunkan segala dosa dan digandakan pahala. Semoga dikurniakan kubur yang bercahaya. Supaya dijauhkan dari azab kubur. Semoga dibangkitkan dalam keadaan mulia. Semoga digolongkan dalam kalangan orang beriman. Semoga diberikan syafaat Rasulullah dan rahmatNya di Mahsyar sana. Semoga dipermudahkan untuk melintasi Titian Sirat. Semoga dipermurahkan rezeki untuk ke syurga. Semoga kita semua mendapat pengampunan dan rahmat serta maghfirahNya, aamiin.

AlFatihah,
Hj Hamzah bin Idris,
1927 - 2015.

0 love letta(s):

 

♥ Maryam Jamilah's ♥ Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template