Thursday, February 19, 2015

"Macam mana Aytuk Mek nak jawab salam?"

Bismillahirrahmanirrahim

***

Sempena cuti selama 5 hari termasuk hujung minggu sempena Tahun Baru Cina, saya mengambil kesempatan untuk pukang ke kampung halaman, meskipun baru 3 minggu pengajian semester baru bermula. 

Petang pertama di rumah, saya ajak Abdullah Fathi ke kubur Aytuk. Niatnya, mahu membiasakan dia dengan aktiviti sebegitu. Tidaklah duduk di rumah, tercatuk menghayati Cartoon Network semata-mata.

Dalam perjalanan, ligat saya menjelaskan kepada Abdullah Fathi yang mesra disapa Along tentang hal kematian. Berbagai soalan yang dilontarkan, menzahirkan sel-sel otaknya yang sedang berkembang.

"Nanti sampai kat kubur, Along bagi salam tau. Assalamualaikum ya ahlil qubur." ajar saya. Dia sengih.

"Along malulah."

"Nak malu apa?" Dia diam.

"Nanti bagi salam tau kat Aytuk Mek, assalamualaikum Aytuk. Along datang ni." sambung saya. Dia sengih lagi. 

"Macam mana Aytuk Mek nak jawab salam, Che Sue? Dia kan dah mati." dia mengutarakan soalan berkisar konsep kematian yang belum jelas padanya.

"Ye, Aytuk Mek dah takde. Tapi kalau Along bagi salam kat dia, dia suka. Allah pun suka. Nanti dapat pahala." saya sedikit cuak untuk menerangkan dalam bahasa paling mudah supaya kanak-kanak berusia 5 tahun ini faham. 

Dan di kubur Aytuk, dia memandang saya.

"Aytuk Mek ada kat dalam ni ke?" polos wajahnya.

"Yelah. Ada kat sini." kami tumpang duduk di belindan kubur sebelah Aytuk. Maklumlah, kedudukan kubur yang rapat membuatkan kami terpaksa duduk di situ. Tiada tempat untuk menghamparkan tikar.

"Bukaklah, Che Sue. Along nak tengok Aytuk Mek." pintanya naif. Saya senyum kecil. If only I can.

"Mana boleh, Along. Nanti siapa nak kemas balik?"

"Alonglah." dia meluruskan jari telunjuk ke dadanya.

"Ye ke? Tadi kat rumah pun lepas main Along tak kemas?" sempat saya kenakan dia. Tersengih dia, sebelum menguis sedikit tanah di sekeliling kami. 

Saya ajarkan dia salam kepada warga kubur, juga baca AlFatihah kuat-kuat, supaya dia boleh ikut baca. Selepas itu, saya biarkan dia dengan dunianya sendiri, bilamana saya bacakan Yaasin untuk Aytuk.

Kami kemudiannya ke paip air berdekatan, dengan sebuah baldi di tangan saya dan satu botol kosong di tangan Along. Melihat sesuatu, saya panggil Along yang berada dua langkah di hadapan. Dia berpaling.

"Cuba sentuh ni." saya mencangkung, menjamah pohon semalu yang pantas menguncup bilaman terkena jari saya. Nampak teruja, Along turut mencuba. 

"Kenapa dia jadi macam ni, Che Sue?" tangannya masih galak menyentuh hampir kesemua pohon semalu yang ada berdekatan paip itu.

"Dia malu dengan Along kot." ringkas saya terangkan sebelum kembali berdiri dan mengajaknya untuk meneruskan perjalanan.

Kembali ke kubur, saya suruh dia siram tanaman yang kami pacakkan di kuburan Aytuk. Dia akur. Selepas botolnya kosong, saya isikan pula air ke dalam botol itu, dari baldi yang berisi air. Lalu saya ratakan air ke sekeliling kubur Aytuk.

"Kenapa kena siram pokok, Che Sue?" tanya Along.

"Kenalah siram, nanti pokok haus. Kalau Along haus, Along minum air tak?" Dia mengangguk.

"Tapi pokok mana ada mulut. Macam mana nak minum?"

Saya senyum, sambil mencabut sepohon kecil rumput yang kebetulan tumbuh tidak jauh dari kami. Saya tunjukkan pada dia.

"Pokok memang takde mulut nak minum air, tapi dia ada akar untuk serap air masuk dalam badan dia. Jadilah dia sihat!" jelas saya lalu meninggalkan rumput yang masih berakar itu di tangannya. 

Sementara Along ralit dan leka membelek rumput di tangannya, saya bermenung seketika. Pandangan saya lontarkan ke jalan. Rumah Aytuk cuma di seberang jalan, barangkali cuma memakan masa 5 minit jika berjalan. Boleh dikatakan setiap petang kami akan menziarah Aytuk, Mek dan Che Lah di rumah mereka - membawa apa-apa sahaja yang emak sediakan dari rumah sebagai juadah minum petang. Dan sama seperti hari-hari itu, saya masih lagi ke kampung ini pada petang hari. Jalan yang sama, kampung yang sama, tujuan yang sama - menziarah Aytuk. Cuma keadaan dan tempat yang berbeza. Menziarah Aytuk di kuburan. Langsung tidak saya fikirkan sebelum ini. Senyum nipis saya tarik dan nafas saya hela. Memohon hati supaya bertenang dan tidak merusuh. Tidak manis untuk menangis lagi di kuburan Aytuk. Jam di tangan saya kerling, hampir jam 7 malam.

"Dah, Along. Bagi salam kat Aytuk. Nanti kita datang lagi." lafaz saya di mulut, beserta lafaz di hati - saya ucapkan salam kepada Aytuk dan berjanji untuk kembali bilamana berpeluang.

Dan saya tahu, langkah saya untuk meninggalkan Aytuk di 'rumah barunya' yang genap sebulan beliau diami, sama beratnya seperti ketika pertama kali saya menghantarnya ke 'rumah barunya' itu sebulan lalu. 

Semoga ALLAH lapangkan kubur Aytuk.
Semoga ALLAH terangkan kubur Aytuk.
Semoga kubur Aytuk menjadi salah satu daripada taman-taman syurga.
Semoga Aytuk dijauhkan daripada azab kubur.
Aamiin.
\


Wallahu'alam, wassalam.

0 love letta(s):

 

♥ Maryam Jamilah's ♥ Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template