Friday, July 4, 2014

Kisah 5 Ramadhan.

Bismillahirrahmanirrahim.

***

Dalam santai merehatkan diri sambil menunggu waktu Asar masuk, mata terpandang sesusuk tubuh berjalan dengan langkah gontai. Bertudung hitam, dipadankan dengan baju mengandung warna senada. Kandungan wanita itu mungkin sudah mencecah lebih 5 bulan. Barangkali letih, pantas sahaja beliau melabuhkan punggung berdekatan saya. Senyum sedikit padanya, mata saya pejam perlahan. Sempat saya berfikir, penatnya dia, nak bawa kandungan pada bulan puasa. Subhanallah. Jasa seorang ibu! Semoga ALLAH mempermudahkan urusan beliau. Perlahan-lahan, saya dibuai lena.....

***

Lebih kurang jam 5.30 petang, saya bergegas turun ke tingkat satu masjid, mahu menyertai golongan sukarelawan menyediakan makanan untuk majlis berbuka puasa harian yang diadakan sepanjang Ramadhan. Dalam mencongak-congak bekas makanan mana yang belum dibekalkan buah epal sebagai pencuci mulut, saya terlihat sesusuk tubuh itu lagi. Mudah dicam, kerana perutnya yang terkedepan begitu. Suaranya yang menegur rakan di sebelah, turut mencecah telinga,

"Dik, ada epal lebih tak?"

Rakan itu memandang saya, saya juga memandang dia. Tidak berani kami berikan epal yang sudah diedarkan untuk iftar, dan tiada baki epal lain. Kami serba salah.

"Maaf, kak. Epal tak cukup sebenarnya."

Benar. Ada lebih kurang 20-30 lagi bekas makanan yang belum berbekal epal. Wanita mengandung itu tersenyum cuma, sambil melangkah pergi.

Saya pandang langkahnya. Hati rasa berat dan ralat tiba-tiba. Mahu saja saya capai dua biji epal dari bekas makanan berdekatan dan hulurkan padanya, namun sedar yang saya tidak punyai apa-apa hak, tangan cuma kaku. Kaki mahu mengejar, mahu menyuruh beliau tunggu. Namun menyedari tiada apa yang saya boleh janjikan sekalipun beliau menunggu, kaki juga turut seolah terpaku.

Akhirnya, bayang tubuh bersarung jubah longgar berwarna hitam itu hilang dari pandangan. Dan di lubuk hati, saya rasa bersalah yang amat, kerana paling kurang, tidak mendahulukan sebiji pun epal kepadanya. Anggaplah saya berikan bahagian saya saja. Tapi tadi, tiada kekuatan mahu berbuat demikian.

***

Membawa ke Maghrib, bahkan sampai ke Isyak dan teraweh, bayang ibu mengandung itu masih menghantui saya. Berbagai fikiran menerpa benak. Bagaimana kalau beliau mengidam? Sudahlah penat berpuasa, tidak dapat pula makan apa yang diidamkan. ALLAH. Saya titipkan doa di setiap sujud, semoga ALLAH permudahkan urusan dan permurahkan rezeki wanita tersebut.

Usai 8 rakaat, kami bergerak ke belakang, memberi laluan kepada jemaah yang mahu melengkapkan 20 rakaat. Tiba-tiba, mata saya menyapa sebatang tubuh. Wanita mengandung itu! Lalu, tanpa sempat menyarung spek di mata, saya gagau epal di dalam beg yang belum sempat saya makan, dan buru-buru tanpa malu, saya 'pinjam' epal kawan sebilik, dengan janji akan menggantikan dengan epal lain yang memang ada di bilik.

Dengan dua biji epal di tangan, mata yang rabun ini mengecil, mengenalpasti ke mana wanita mengandung itu sudah pergi. Pintu! Saya segera mneghampiri pintu, dan alhamdulillah, sempat menahan langkahnya, yang sememangnya terhenti di tangga.

"Er, akak." panggil saya. Sedikit berdebar, bimbang tersalah orang.

"Ya?" jawabnya. Wajahnya putih bersih, tenang dan mendamaikan. Seri seorang ibu mengandung barangkali.

"Maaf ya, tapi tadi masa nak berbuka, akak ada minta epal ya?" saya unjuk dua biji epal di tangan.

Senyum di wajahnya melebar.

"Ya, ya! Nak ambil untuk anak-anak. Awak ingat lagi?" suaranya ceria.

"Nah." dengan rendah hati, saya menghulurkan dua biji epal di tangan.

"Terima kasih!" dia menyahut pantas. Wajah gembiranya jelas terpeta. Saya mengangguk sahaja. Syukur masih tak henti saya lafazkan di dada, pada ALLAH, kerana dikurniakan peluang ini.

"May ALLAH bless you!" dengan sebelah tangan menggenggam dua biji epal, sebelah tangannya lagi menepuk bahu saya, sambil kami berpamitan. Sempat saya aminkan ucapannya pada saya.

Ya, semoga ALLAH rahmati saya!

***


Subhanallah Alhamdulillah Allahuakbar!

Bila jumpa balik akak tu lepas teraweh, rasa macam miracle snagat. Lepas tu, nak solat witir, siap niat dalam hati,

Ya ALLAH, aku serahkan segala-galanya pada Kau, yang sememangnya milik Kau. Jasadku, mindaku, nyawaku, hanyalah milikMu. ALLAH, kalau aku mati pada saat ini sekalipun, aku redha ya ALLAH. Kerana saat ini aku terlalu gembiraaaa!

Gembira yang amat, tuan-tuan dan puan-puan. Rasa puas hati sangat dapat memberikan bantuan kecil pada akak tu. Rasa seolah-olah dekat sangat dengan ALLAH, dan disayangi Dia, bilamana Dia berikan peluang nak perbetulkan kesilapan.

Kalaulah tadi, lepas teraweh, nampak akak tu dan masih buat tak tahu, mungkin sampai minggu depan tak habis lagi rasa bersalah dengan beliau. Huks.

Cerita 5 Ramadhan Yam begitulah. Rasa indah. Rasa riang ria ceria Ramadhan gittew. Walau benda tu mungkin kecil ya amat bagi kekorang, tapi percayalah, bagi seorang YamJamilah, kisah ni ada signifikannya tersendiri.

Akak, semoga doa akak makbul yaa. Semoga ALLAH merahmati saya! :)

Wallahu'alam, wassalam.

p/s : Adnin Kaif, terima kasih yaa bagi 'pinjam' epal :) Semoga ALLAH merahmati anda jugaaaa <3 p="">

0 love letta(s):

 

♥ Maryam Jamilah's ♥ Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template