Sunday, February 23, 2014

Umrah 2014 : The Second Golden Opportunity

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah.

***
MADINAH AL MUNAWWARAH, 26-30 Januari 2014.

Masjid Nabawi sangat sesak. Sangat. Mungkin salah kami juga, kerana hanya tiba di masjid kurang daripada setengah jam sebelum waktu solat, sedangkan kami seharusnya arif lagi maklum bahawasanya Masjid Nabawi ini tidak pernah sunyi daripada pengimarahnya, malah jumlah jemaah akan bertambah secara agresif ketika waktu solat hampir menjelang.

Pandangan kami kitarkan ke seluruh yang terjangkau dek mata. Penuh. Manusia memenuhi segenap ruang masjid, dan kami masih berdiri, menunggu laluan untuk ke depan, atau mungkin ada ruang yang bisa kami selitkan diri.

Seorang wanita Arab tua yang duduk di kerusi di hadapan saya, mulai marah-marah kepada seorang lagi wanita Arab pertengahan usia, dek kerana wanita yang kedua itu begitu agresif untuk mahu ke saf depan, sedangkan segenap laluan sudah penuh. Tindakannya yang agak buru-buru itu menjejaskan kami yang berdiri, hingga hampir jatuh menimpa jemaah yang sedang duduk.

Kami perhatikan sahaja pertikaman lidah dua wanita itu, tanpa masuk campur. Cuma sesekali riak wajah tidak selesa sukar untuk saya sembunyikan, dek kerana wanita pertengahan usia itu pada satu ketika menolak kami, demi membolehkan dia menunaikan solat tahiyatul masjid. Geram menyerang jiwa.

"Ehh macam kau sorang nak solat sunat. Macam kau sorang nak pahala." sempat hati berdesis, mengalunkan aura negatif seorang Maryam Jamilah.

Akhirnya azan berkumandang. Saf mulai didirikan tatkala jemaah mahu menunaikan solat sunat rawatib. Akhirnya, kami berjaya mencari ruang untuk menunaikan solat, syukur atas ilham yang ALLAH berikan kepada insan-insan sekeliling untuk menginjak memberikan ruang kepada kami.

Solat sunat selesai. Satu amalan di Masjid Nabawi ialah, untuk menunggu iqamat selepas azan dialunkan, mengambil masa yang agak lama. Tidak keterlaluan saya katakan jika ia mungkin mengambil masa 15-25 minit. Lantas, masa yang ada saya manfaatkan dengan membaca Kalamullah.

Bacaan dimulakan, menginjak sehelai, dua helai, tiga helai muka surat. Tetiba, saya mendengar satu suara, menegur bacaan saya yang tersalah baris.

Saya kerling dengan hujung mana, segan mahu melihat secara terus pada insan yang menghafal AlQuran dan sudi menegur bacaan saya, insan asing baginya.

Dia.

Wanita pertengahan usia tadi. Dia tersenyum, sambil tangannya tidak berhenti membilang tasbih. Saya senyum juga sebaris.

Rasa berdosa menerpa. Sesal menimpa.

"Ambuoiii YamJamilah. Tadi kenmain kau kutuk dia. Sekarang? Hafizah tu hoi. Satu Quran ni dia hafal. Kau fikir kau layak ke nak kutuk dia tadi?" #IntermonologYam

PANG. Rasa macam nak tampar diri sendiri.

Moral of the story : Jangan pernah berani nak judge orang. Kau mungkin happen to see her bad side first, tapi mana kau nak tahu kekalau dia lagi mulia daripada kau? Dan siapa kau nak hakimi dia at the very first place, sedangkan kau dan dia - sama. Sama-sama hamba. Sama-sama makhluk.

~~~



Saya capai dua botol kecil dan masukkan ke dalam beg silang yang agensi bekalkan. Mak dan Ayah selalu berpesan untuk tidak lupa mengambil air zam-zam yang begitu senang boleh didapati dari Masjid Nabawi secara percuma. Langkah saya atur beringingan bersama Mak dan Kak Yah, ke arah masjid yang kelihatan masih lengang, sementelah masa agak panjang lagi sebelum waktu solat masuk.

Masuk ke masjid, segera saya saya isi air zam-zam ke dalam botol yang di bawa. Sementelah masjid masih lengang, dengan mudah kami mendapat tempat yang selesa. Mak dan Kak Yah terlebih dahulu mendapat tempat, sementara saya pula bergerak dua saf ke hadapan tatkala saya lihat ada ruang kosong.

Botol air yang saya bawa, saya letak di hadapan sejadah. Menanti peluang untuk melakukan solat hajat, maka bolehlah air mulia itu saya jadikan air solat hajat. Dua wanita Turki di sebelah saya, saya pandang dengan senyuman. Mereka membalas senyuman saya, dan salah seorang daripada mereka menyentuh botol air saya dan tersenyum lebar. Saya senyum sahaja.

Tetiba terdetik di minda,

"Dia nak air aku ke? Dahaga ke dia?"

Saya pandang mereka lagi sambil senyum. Mereka juga senyum, namun saya perasan salah seorang itu mengurut leher.

"Dahaga barangkali. Nak kasi ke? Kalau kasi satu, takkan diorang nak kongsi? Botol ni kecil je. Tak hilang dahaga pun. Kalau kasi dua-dua, then nothing is left for me. Hmmmm." berfikir sekejap.

"Takpelah, rezeki mereka barangkali."

Pantas kedua-dua botol itu saya capai, dan hulurkan pada mereka. Mereka menyambut dengan senyuman lebar. Salah seorang daripada mereka segera meneguk air yang diberikan dan mahu memulangkan botol yang masih berisi itu. Saya tolak dengan baik, bersama gerakan tangan yang menandakan saya berikan terus semuanya kepada mereka.

Tanpa disangka, seorang memeluk saya, dan seorang lagi mengucap beberapa perkataan yang tidak saya fahami, namun tetap saya angguk dengan senyuman. Bebuat faham je lah.

Saya senyum, ditujukan pada diri sendiri. Memujuk hati. Tak mengapalah, waktu solat seterusnya kita ambil lagi yaa air zam-zamnya :)

Moral of the story : Rezeki kau, mungkin ALLAH berikan melalui orang lain. Air zam-zam tu memang awal-awal lagi ALLAH dah tetapkan rezeki mereka, namun ALLAH jadikan aku sebagai perantara. Rezeki aku pula, mungkin dengan entah siapa-siapa di luar sana. Sebab tu lah kena buat baik dengan semua orang, sebab mana kau nak tahu yang dia sebenarnya 'memegang' rezeki kau ^^






















***

MAKKAH AL-MUKARRAMAH, 31 Januari - 5 Februari 2014.

Puas kami berkisar duduk demi menunggu azan solat Jumaat berkumandang. Sementelah kami tiba di Mekah pada hari Jumaat, maka berpeluanglah kami untuk menunaikan solat Jumaat yang jarang sekali boleh kami laksanakan jika di tanah air.

Tapi, kami harus pergi sangat awal ke masjid jika mahu mendapat tempat yang elok. Waktu Zuhur dijangka dalam 12.30 tengah hari, namun jam 10 lagi kami bertolak ke masjid. Itu pun masjid sudah 3/4 penuh. Maklumlah, orang tempatan juga membanjiri masjid kerana Jumaat merupakan hari minggu.

Puas solat, kami baca Quran. Puas mengaji, kami berzikir. Hampir terlelap, kami berselca sesama kami, menghantar gambar melalui WhatsApp kepada famili di Malaysia, sambil bersembang di alam maya bersama mereka, bertanya khabar. Bayangkan, dua jam lebih kami beriktikaf di masjid menunggu masuk waktu.

Tetiba, bahu dicuit daripada belakang. Seorang wanita tua tersenyum memandang saya sambil membicarakan sesuatu yang tidak saya fahami. Saya pandang wanita muda di sebelahnya. Wanita Arab. Dia tersenyum.

"Can you understand English?" wanita muda itu bertanya, mesra. Saya angguk.

"She's asking you to recite to her surah AlFatihah and Surah Al-Ikhlas, as she is in the process of memorizing it." Jelas wanita itu. Saya angguk. Tetiba berdebar. Mak dan Kak Yah berteleku di sebelah, tidak menghiraukan saya. Tapi saya tahu Mak mendengar.

Saya ubah posisi duduk menghadap wanita tua itu, yang saya agak berasal daripada Turki.Senyum, dan saya mulakan bacaan. Dia mengikut perlahan-lahan. Terasa mengalir sejalur ketenangan ke dalam hati.

Usai Al-Ikhlas, dia menepuk bahu saya sambil tersenyum. Segan, namun bangga tercuit juga. Bangga bila berupaya menghulurkan bantuan kecil kepada saudara yang berkongsi tali agama yang sama. Saya sorot pandangan ke arah wanita Arab itu bersama segaris senyuman terima kasih kerana memperantarakan hajat wanita tua itu. Dia membalas bersama senyuman lebar. Wanita tua itu berbisik sesuatu kepada wanita Arab itu.

"She is saying that your recitation is good, and she is thanking you." Saya angguk. Malu.

Moral of the story : Ujian datang tetiba. Tak tunggu masa, tak tunggu ketika. Mungkin masa tu kau bersedia, mungkin masa tu kau terpinga-pinga. Yang penting, cara nak menghadapi dan mengatasinya. Kau mungkin buat salah, maka belajarlah daripada kesilapan. Dan bila apa yang kau buat tu betul, keep it up! In short, prepare for the worse :)












***

Jadi, itulah serba sedikit pengalaman sepanjang umrah yang saya tunaikan pada tengah Januari hingga awal Februari baru-baru ini. Yes, this is my second time. My first time was when I was in form 5. That's exactly why I say that this is a second golden opportunity. Yalah, bukan senang nak jejak kasi ke sana, and Alhamdulillah, I had been chosen for second time to be there. To be His guest. To set my feet on His holy land.

Alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah.

***

Balik sini, memang rindu nak ke sana lagi. Normal la, kan? Semoga ALLAH murahkan rezeki kita semua untuk jejakkan kaki ke sana ya, insha ALLAH, aamiin :)


Semoga ada ibroh yang kita boleh ambil bersama daripada kisah-kisah yang tak seberapa ni.

Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui atas segala sesuatu, wallahu'alam. Wassalam :)

0 love letta(s):

 

♥ Maryam Jamilah's ♥ Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template