Sunday, July 1, 2012

Belajar daripada kanak-kanak.

Bismillahirrahmanirahim.

Assalamualaikum wbt.

Penat. Jam 12 lebih tadi baru tiba dari jenjalan di hujung minggu bersama abang kakak. Jam 3 tadi ke Sogo bersama Kak Tie dan Abang Naim, kemudian TERjumpa encik abang dan kakak sulung di sana, Abang Mat dan Kak Nori bersama putera-putera mereka :D

Sebenarnya, bila jumpa Iqbal, Ikmal dan Irham, banyak benda yang mengajar saya. Sejak bergelar Che Sue kepada Iqbal yang dilahirkan enam tahun lalu, diikuti Ikmal tiga tahun lalu, Abdullah dua tahun lalu dan Irham pada tahun lalu, terlalu banyak pengajaran hidup yang saya kutip, berdasarkan pemerhatian dan pengalaman.

Tadi, saya nampak Iqbal, tapi beliau tak nampak saya. Maklumlah, TERjumpa. Dan saya yang jumpa mereka. Di saat papa dan mamanya sedang memilih baju untuk mereka adik-beradik, Iqbal taat mengikut arahan mamanya yang menyuruhnya mengalihkan stroller Ikmal ke tepi tiang.

Bila stroller itu ditolak oleh Iqbal, dari pandangan depan ni, anda takkan nampak siapa yang menolaknya, sebab Iqbal itu kecil jika nak dibandingkan dengan stroller.

Tapi saya nampak nilai tanggungjawab kanak-kanak berusia enam tahun ini. Sebagai abang sulung, beliau gigih memastikan arahan papa dan mama dipatuhi, supaya adik-adiknya selamat :)

Pada Hari Sukan Tadika Cendikiawan yang dihadiri Iqbal, Ikmal dan Irham yang berlangsung minggu lepas, saya tak melepaskan peluang untuk menghadirkan diri.

Mula-mula sekali, Ikmal dah mula menangis, tak mahu ditinggalkan di khemah rumah pasukannya. Mahu bersama kami ; mamanya, papanya, Irham yang berada dalam dukungan, dan saya yang menyangkut Canon di leher. Namun peraturan tetap peraturan. Ikmal wajib berada di bawah khemah rumah pasukannya.

Di sini saya lihat Iqbal sangat memainkan peranan. Dengan lembut, dia memujuk adiknya. Tangan Ikmal, Iqbal gapai dan dibawa ke arah guru mereka. Maka, bolehlah kami, ahli keluarga ini beransur meninggalkan mereka.

Namun, saya, di sebalik celahan manusia, saya mengintai aksi dua beradik ini. Sangat menyentuh hati apabila Iqbal masih bersama Ikmal, hatta ketika itu dia sudah punyai teman-temannya sendiri. Ikmal pula, sendirian tanpa kawan. Tapi saya tahu, Ikmal berasa selesa hanya dengan kewujudan Iqbal. Ini terbukti apabila tangannya tak lepas dililitkan di lengan si abang, dan tangan Iqbal memegang kaki adiknya. Mereka sedang duduk bersila, dan saya dapati aksi ini sangat manis dan sesuai untuk diabadikan di dalam Canon saya :')


Apabila tiba acara perarakan rumah sukan, hanya kanak-kanak berumur 5-6 tahun sahaja dipanggil. Maka, terpaksalah Iqbal meninggalkan Ikmal. Hingga masuk dalam barisan pun, tangan Ikmal, masih Iqbal pegang. Hinggalah cikgu mereka leraikan, dan Ikmal menangis. Iqbal panik. Saya nampak jelas di wajahnya, beliau melilau-lilau mencari kami, agar memujuk Ikmal dan memastikan Ikmal tidak menangis. Sedaya-upaya saya bersembunyi daripada pandangan mereka, kerana Abang Mat berpesan, jangan bagi mereka nampak saya.

Namun mata Iqbal menangkap kehadiran saya. Pantas dia melaungkan nama saya, menyuruh saya mengambil Ikmal, agar tangisan adiknya berhenti. Saya kuatkan hati untuk menggeleng dan meninggalkan khemah rumah merah, dan sayup-sayup kendengaran Iqbal menjerit memanggil nama saya dengan nada amarah, dek kerana tidak puas hati saya meninggalkan Ikmal yang tidak berpujuk.



Muka Iqbal cuak aje sepanjang masa persediaan untuk perarakan tu. Saya perasan, tapi buat-buat tak perasan. Tangisan Ikmal, cikgunya redakan dengan memberi bendera kecil kepadanya juga. Alhamdulillah :)

Masa ni, hilang segala imej kelabu Iqbal yang tersimpan di kepala. Nakal, banyak songeh, banyak cakap, suka usik adik dan sebagainya. Namun yang terpateri di minda hanyalah kesabaran, kesungguhan dan kegigihannya sebagai abang, menjaga adiknya :')

Kemudian, masuk ke acara sukan pula. Suka untuk saya berkongsi cerita tentang Iqbal. Ditakdirkan, Iqbal bersama rerakan sepasukannya, Rumah Merah berjaya mendapat tempat pertama dalam permainan yang mereka sertai. Justeru, selepas menerima hadiah yang berupa sehelai tuala, wajah Iqbal ceria yang teramat!!!


Gembira tak terkata! Riang seluruh jiwa! Bangga sehabis minda! Saya mengerti perasaan ini, dan masih ingat bagaimana rasanya, kerana sampai sekarang, bila ada sesuatu yang baik yang saya mahu persembahkan pada mak dan ayah, saya akan rasa begini!

Sejurus selepas menerima tuala ini, terus dia berlari ke arah mamanya dan menunjukkan hadiah yang dimenanginya, dengan jeritan : Mama, abang menang!

Meski bagi kita ; orang dewasa, yang memandang tualanya hanyalah sehelai tuala, namun nilai sentimennya pada Iqbal tersangatlah tinggi. Itu tuala yang hanya diberikan pada mereka yang mendapat nombor satu, dan Iqbal salah seorang daripanya. Maka wajarlah Iqbal berasa gembira, riang dan bangga.

Dan kesungguhannya berkongsi kegembiraan dengan mamanya membuatkan hati saya tersentuh sekali lagi. Iqbal nyata mahu mamanya bangga dengan pencapaiannya, seperti mana saya mahu mak dan ayah bangga dengan pencapaian saya. I want to let my parents know that I can do well, and can make they proud of me. Ohh Iqbal, sesungguhnya Che Sue mengerti mengapa kau begitu beria-ia, meski hanya mendapat sehelai tuala :')

Sebelum balik, Iqbal sempat merajuk (lagi) dengan papanya, sebab permintaannya untuk mendapatkan belon berbentuk Angry Bird tidak dipenuhi. Aksi Iqbal mengingatkan saya kepada diri sendiri :D


Beginilah saya apabila merajuk, suatu ketika dulu. Hatta hingga sekarang, mungkin :D Merajuk ni hanyalah sebagai tanda protes apabila apa yang dihajati tidak dipenuhi. Apa yang berkenan di hati, ditentangi. Kekadang bila banyak kali Iqbal merajuk, menyampah jugak dibuatnya. Tapi bila difikirkan balik, masa saya kecil-kecil dahulu, adakah mak ayah abang kakak pun rasa menyampah dengan saya? Segera saya insaf :D

Izinkan saya menyentuh sedikit tentang Ikmal. Abang tengah ini, aksinya suka meniru aksi si abang sulung. Kalau Iqbal buat aksi Kamen Rider, dia pun tak mahu kalah. Almost everything that Iqbal wants, he wants. Almost everything that Iqbal does, he will as well. Selalunya, saya pandang benda tiru-meniru sesama adik beradik ni comel je. Tapi berterusan sangat, saya rasa tak enak pulak. Akan menjadi persaingan tidak sihat antara mereka nanti.

Namun bila dihisab kembali, apa yang Ikmal cuba lakukan ialah dia cuba untuk menunjukkan bahawa dia pun tidak kurang hebatnya daripada Iqbal si anak sulung. Apa yang Iqbal buat, pasti dia boleh lakukan. Kenapa? Kerana mahu mama dan papanya tahu bahawa dia juga mempunyai upaya seperti abangnya. Justeru, mama dan papanya tidak akan membeza-bezakan mereka.

Saya juga mungkin begitu dulu. Mahu cuba lakukan semua yang abang kakak saya lakukan, supaya mak tahu saya pun dah boleh buat all sorts of things. Mak mesti bangga, ayah mesti suka! :)

Pendek kata, bila bergelar ibu saudara ni, banyak jugalah benda yang saya dapat, untuk dijadikan iktibar dalam hidup ni :) Alhamdulillah, ALLAH, for this beautiful chance.


Nasiblah Irham tak pandai merajuk lagi. Kalau tak, pengsan berdiri Che Sue nak melayan kome tiga beradik :D

Semoga jadi anak-anak soleh ya, sayang :)

***

Terlalu banyak benda yang kita boleh pelajari daripada kanak-kanak ini. Tua daripada mereka, tak semestinya kita lebih hebat berbanding mereka. Bahkan mereka ini, anak-anak yang masih dijanjikan syurga andai kata maut menjelma di zaman muda. Kita? Haihhh.


:')

Wallahu'alam, wassalam.

0 love letta(s):

 

♥ Maryam Jamilah's ♥ Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template