Thursday, April 12, 2012

Takziah, Brien.

Library CFS IIUM PJ, 10.20 am : 1 message from Syasya Musiman.

"Ayah Brien... dah meninggal. Al-fatihah."


Jantung berdegup kencang tak ingat. Terus saya pack barang-barang yang berselerak atas meja, tanpa sempat sumbat masuk beg, saya dah berlari keluar dari library. Perjalanan dari library ke KC rasa sangat jauh, meskipun  biasanya hanya 5 minit. Sementara berlari anak, saya teringat siri-siri cerita Sabriena tentang ayahnya.

Kami warga 901 memang sedia maklum bahawa ayahnya kurang sihat. Malah, pernah dimasukkan ke Hospital Ampang kerana sakit, dan menjalani pembedahan. Lebih kurang sebulan lalu, ayahnya dibenarkan keluar. Setakat itu sahaja yang kami maklum kerana Sabriena sangat jarang dan kurang berkongsi cerita tentang kisah peribadinya.

Dan tiba-tiba, hari ini, kami dikejutkan dengan pemergian ayahnya. Saya boleh bayangkan betapa sedihnya Sabriena. Baru semalam ada yang datang mengetuk pintu bilik kami, meminta derma untuk disalurkan kepada seorang sister yang kehilangan ibu. Dan kini, hari ini, ayah Sabriena pula yang pergi.

Hari Rabu merupakan cuti am sempena pertabalan YDPA. Petang Selalsa tu, saya dan Brien sama-sama naik bas ke Mid. Dari situ, saya ambil komuter ke UKM untuk balik ke rumah kakak di Bangi, dan Sabriena ambil bas U65 untuk balik ke rumahnya di Puchong. Sebenarnya, saya seorang sahaja yang merancang untuk pulang, tapi tiba-tiba Sabriena memaklumkan bahawa dia mahu balik sama. Saya okey saja, malah bersyukur kerana ada teman. Dan alhamdulillah, dia sempat balik, jumpa ayah dia buat kali terakhir, tanpa mengetahui kali terakhirnya itu....

Sampai di bilik, saya lihat Sabriena di tikar sejadah. Wani yang sedang melipat kain, merah wajahnya. Menangis. Sabriena teresak-esak. Saya mengerti, Wani sendiri tidak punya kekuatan untuk menenangkan Sabriena. Wani kehilangan ayah sejak kecil, justeru dia sendiri terkelu untuk menenangkan Sabriena. Saya biarkan Sabriena buat seminit, menyangka dia berdoa. Namun, bila melihat dia semakin teresak-esak, saya hampiri dia.

Bahunya saya peluk, menguatkan lagi esakannya. Tangisannya yang selama ini dipendam, semakin jelas kedengaran. Menjemput kami untuk menangis sama. Saya bisikkan beberapa kalam ke telinganya, menyemai kekuatan dalam sekeping hati yang diuji Tuhan.

Dalam esak tangis yang dahsyat, dia meluahkan apa yang tersirat :

"Kita tak habis belajar pun lagi... Kita nak hantar ayah kita pergi Mekah. Ayah kita nak buat umrah... Tapi...."

Saya sendiri kehujanan, kelu tanpa kata. Dalam hati, hanya dua benda yang saya pohon daripada ALLAH ; berikan Sabriena kekuatan yang setimpal dengan ujian yang dikurnia, juga semoga ibu ayah saya panjang umur. Saya belum bersedia untuk kehilangan salah seorang daripada mereka buat masa sekarang.

Hampir lima minit berpelukan, dan Syira pun sudah kembali ke bilik, dan kami berempat sama-sama menangis, Sabriena bangkit dari duduknya. Dia mahu pulang dengan segera.

Sebelum pulang, anak bongsu daripada empat adik beradik ini sempat lagi singgah membeli telekung solat untuk ibunya di gerai berhadapan mahallah. Bila ditanya, dikatakan memang niatnya untuk membelikan telekung untuk ibunya. Sebelum itu, kami ke Pejabat Mahallah, Sabriena mahu mendapatkan surat kebenaran pulang.

"Kak, saya nak balik."

"Kenapa?" soalan biasa ditanya.

"Ada kecemasan." jawab Sabriena setelah seketika terjeda.

"Kecemasan apa?" soalan berlanjutan. Saya pandang Sabriena yang terkaku. Bibirnya kelihatan menggeletar menahan tangis, sebelum menjawab,

"Ayah saya meninggal." suaranya bergegar sedikit. Tapi saya tahu, gegaran hatinya jauh lebih dahsyat daripada suaranya, malah jauh lebih dahsyat berbanding gempa bumi 8.9 skala ritcher semalam.

Jam 11 lebih, Sabriena saya iringi dengan pandangan mata hingga ke pagar CFS. Mahu menemaninya hingga ke rumah, mustahil. Lagipun, tanggungjawab di sini lebih banyak.

Tiada apa mampu saya kirim padanya, melainkan doa agar hatinya tidak goyah dengan ketentuan Ilahi. ALLAH lebih tahu, kan?

Tapi saya juga tahu, bahawa mengatakan sesuatu sangat mudah berbanding melaluinya. I can say anything, but I cannot know the real feeling of hers.

Brien,
semoga kau tabah.
semoga kau kuat.
semoga kau sabar.

Jangan lupa, ini takdir ALLAH. Hanya masa yang memainkan peranan. Cepat atau lambat, setiap antara kita pasti akan pergi.

ALLAH.
Jangan uji aku seteruk ini.
Panjangkan umur kedua-dua ibu bapaku.
Sihatkan tubuh badan mereka.
Jangan Kau ambil mereka daripadaku lagi.
Amiin.

Wallahu'alam, wassalam.

0 love letta(s):

 

♥ Maryam Jamilah's ♥ Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template