Friday, March 2, 2012

Missing A Man Who I Have Never Met.

Assalamualaikum wbt.

Again, another talk ^^

Kali ni, ibarat ceramah qadha untuk Maulidur Rasul la. Tajuknya tentang Rasulullah SAW yang disampaikan oleh Imam Muda Hassan yang baru sahaja bergelar pengantin baru. Siap bawa zaujah beliau lagi! ^^


Cerita tentang Rasulullah SAW seringkali saya dengar setiap kali menghadiri mana-mana ceramah. Pasti akan ada terselit kisah tentang baginda. Biasalah, penangan insan paling berpengaruh di dunia ^^

Namun, ALLAH masih sudi memberikan saya satu hikmah baru usai menghadiri ceramah ini. Betapa selama ini, sudah beratus kali saya disogokkan dengan kemuliaan hati seorang utusan yang membawa risalah supaya umatnya tidak sesat. Yang masih mengingati umatnya hingga ke saat ajal menghampir. Masih sudi mengutamakan umatnya. Menyebut nama umatnya di saat ajal hampir tiba. Ya. Saya tahu. Dan saya rasa kalian juga tahu cerita ini, bukan? Malah ada sepotong nasyid yang menukilkan situasi syahdu ini :

"Ketika engkau hampir memejamkan mata,
bibirmu basah menyebut ummati,
Kasih sayangmu tiada tergambar,
Hanya selawat pengikat kasih."

Begitu sekali kasihnya Muhammad bin Abdullah SAW ini kepada kita. Baginda tidak menyebut nama Khadijah, isteri yang paling dicintainya. Baginda tidak menyeru nama Fatimah, puteri yang paling dikasihinya. Baginda tidak memanggil nama Abu Bakar, sahabat yang paling disayangi. Tapi baginda menyebut umatnya, yakni kita, yang tidak pernah baginda jumpa dan kenal!

Melalui satu video yang dipertontonkan, diceritakan bahawa ketika Rasulullah SAW sedang duduk bersama sahabat-sahabat baginda, ada disebutkan bahawa insan yang paling mulia ialah, insan yang tidak pernah berjumpa dengan Nabi SAW, tetapi masih mengingati baginda, yakni kita. 

Cuba aplikasikan kemuliaan hati seorang kekasih ALLAH ini dalam kehidupan seharian kita.

Sebagai perempuan normal, tak saya nafikan bahawa kadangkala hati ini terlalai juga dengan keindahan dunia.  Pernah juga hati ini terjatuh suka pada insan yang bukan halal. Meminati dari jauh. Stalk FB beliau. Tergedik-gedik hati ini jika insan tersebut lalu di depan mata. Meskipun kewujudan saya tidak beliau sedari, namun bagi saya, mampu melihat beliau sudah cukup indah.

Jahil!

Mengapa saya terlalu mengagungkan insan yang tidak pernah menyedari kewujudan saya, hingga begitu bersungguh-sungguh saya gali maklumat tentang beliau. Nama penuh, asal, tarikh lahir, kos, dan sebagainya. Mengapa saya terlalu mengingati insan yang haram saya ingat? Mengapa saya isi wajah dan nama dia di dalam hati? Kosong benarkah hati?

Di mana saya campakkan sebaris nama yang sepatutnya bukan sahaja ditulis dengan marker permanent di dalam hati, bahkan nama baginda Rasulullah SAW sepatutnya diukir supaya tidak hilang. Jika nama baginda masih di hati, kenapa pintu hati terbuka untuk membenarkan insan haram masuk?! 

Di mana saya campakkan ingatan terhadap insan yang tidak pernah mengenali saya, tidak pernah menjumpai saya, tapi kasih sayang baginda terhadapa saya masih mampu saya rasa hingga saat ini, biarpun sudah beribu tahun baginda kembali ke sisi Ilahi?! Mengapa saya isi ruang ingatan itu untuk mengingati insan haram? 

Mengapa lagha benar hati dan minda? Mengingat insan yang tidak pernah sedar kewujudan saya. Insan haram pula tu! Mengapa saya sanggup abaikan ingatan saya kepada baginda SAW, demi mengingati insan haram itu? Masya ALLAH!

Sekali lagi ditegaskan, baginda SAW tidak pernah berjumpa kita, tidak pernah mengenali kita, tapi baginda mengingati kita setiap masa. Hingga hujung nyawa. Tapi kita? Di saat lalai dengan indahnya dunia, di saat alpa dengan cantiknya pura-pura, terus kita lesapkan nama baginda. Terlupa. Terleka. Terlepa.

Ayuhlah, sahabat. Berhentilah meminati insan lain, meski dari jauh. Mengapa? Iya, memang tidak salah. Tapi akan menjadi salah, jika meminati insan itu melebihi sepatutnya. Hingga kita mengingati insan itu, melebihi ingatan kita pada insan yang sepatutnya. Bukankah semulia-mulia antara kita adalah orang yang tidak pernah berjumpa baginda, tetapi sentiasa mengingati baginda?

Ucapkanlah salam kepada baginda SAW, setiapkali nama baginda disebut. Sesungguhnya, satu kali anda berselawat ke atas baginda, 10x ALLAH akan berselawat ke atas anda. Dan ulama' membahaskan bahawa ALLAH berselawat ke atas anda adalah dengan mengampunkan dosa anda. 

Nah, mahu apa lagi?! Sudahlah menjadi insan terbaik, bahkan dosa pula diampunkan!

Ayuhlah, sentiasa ingat pada baginda SAW :)

"Malu rasanya mengatakan cinta, 
Kepada dia kekasih ALLAH,
kerana dia insan mulia,
sedangkan diriku insan biasa...."

Wallahu'alam.

0 love letta(s):

 

♥ Maryam Jamilah's ♥ Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template