Saturday, July 16, 2011

Persamaan dan perbezaan,

Bismillahirrahmanirrahim.

Dunia ni memang ajaib, kan? Ada benda, zaman dulu ke sekarang ke, SAMA je. Ada sesetengah perkara pulak, zaman dulu dan sekarang, jauh BEZA.

SAMA.

Zaman pra-Islam dulu, (tumpukan pada aspek sosial sahaja ya), amalan berjudi, zina, membunuh dan bermacam jenis pernikahan adalah normal. Sama je dengan sekarang. Berjudi? Ada. Zina? Ada. Membunuh? Ada. Bahkan penduduk zaman jahiliyah dulu sering dikata kejam kerana tega menanam anak perempuan mereka hidup-hidup. Apa bezanya dengan sekarang? Bahkan lagi dahsyat. Tak kira jantina. Bila mereka yang TERjadi ibu bapa ni tak mahukan anak mereka, bukan setakat tanam. Malah sanggup meninggalkan bayi tak berdosa itu di lorong-lorong gelap supaya menjadi santapan anjing-anjing kurap, meninggalkan di tepi jalan agar menjadi hidangan semut-semut merah. Lebih sakit, lebih seksa.

Bermacam jenis pernikahan pada zaman jahiliyah dulu, salah satunya ialah mut'ah, yakni kahwin kontrak. Hah, bab kahwin macam ni, ceritanya banyak dan berlambak boleh didapati di pasaran. Novel cinta sekarang, banyak amat bab kahwin kontrak! Tahukah anda bahawa kahwin kontrak adalah haram di sisi Ahli Sunnah wal Jamaah Islam? Hanya puak Syiah yang membenarkan kahwin kontrak ni. Hah, nak jadi Syiah ke?

BEZA

Tapi ada juga bezanya zaman dulu dengan zaman sekarang. Contohnya, ketika zaman Islam, sesudah kewafatan Rasulullah SAW, timbul kontroversi tentang siapa yang akan menggantikan baginda, kerana baginda tidak meninggalkan wasiat tentang siapa yang akan menjadi pengganti baginda. Selepas berbagai proses dibuat dan majlis syuro diadakan, akhirnya barulah Saidina Abu Bakr dilantik menjadi khalifah Islam pertama. Itupun sebelum itu, Abu Bakr sendiri mencalonkan nama sahabat lain yang dirasakan layak untuk menggantikan tempat Rasulullah SAW. Namun majlis syuro akhirnya memutuskan Abu Bakr sebagai khulafa' rasyidiin yang pertama.

Naiknya Umar Al Khattab dan Uthman Affan sebagai khalifah selepas khalifah sebelum mereka wafat adalah kerana wasiat khalifah tersebut. Umar Al Khattab ditabalkan menjadi khalifah kedua, berdasarkan wasiat Abu Bakr. Begitu juga Uthman yang ditabalkan menjadi khalifah ketiga, berdasarkan wasiat Umar. Namun, apabila Uthman mati syahid tanpa disangka, beliau tidak sempat meninggalkan wasiat tentang siapa yang akan menjadi khalifah keempat selepas beliau.

Beberapa nama ditimbulkan oleh golongan Muslim tentang siapa yang akan menjadi pemimpin mereka selepas Saidina Uthman. Nama Ali bin Abi Talib dicadangkan, dan beberapa sahabat pergi menemui Ali dan memujuknya supaya bersetuju menjadi khalifah keempat. Namun Ali menolak, dan meminta majlis syuro yang membuat keputusan. Bahkan Ali sendiri ada menamakan calon lain sebagai pengganti Uthman. Namun Saidina Ali hanya akur apabila majlis syuro sebulat suara memilih beliau.

Tempoh pemerintahan khalifah yang empat ini juga tidak lama. Sadina Abu Bakr hanya memerintah selama dua tahun (632-634CE), Umar selama 9 tahun (634-643CE), Usman selama 12 tahun (644-656CE) dan Ali selama 4 tahun (656-660CE).

Perbezaannya di sini ialah, cuba bandingkan zaman dulu dan zaman sekarang. Zaman dulu, sahabat menolak untuk ditabalkan menjadi pemimpin, sedangkan mereka tahu dengan menjadi pemimpin pada zaman itu, mereka akan menjadi orang yang paling berkuasa dan dihormati. Namun, itulah yang mereka takuti. Kerana itulah mereka menolak. Bukan tidak berani menerima cabaran, namun mereka tidak mahu jawatan yang besar itu melalaikan mereka.

Sekarang? Berebut-rebut pulak nak jadi ketua! Macam dah sedia je nak tanggung dosa semua orang di bawah tanggungjawab pemimpin. Bahkan mahu memegang tampuk pemerintah dalam jangka masa yang panjang. Mahu kekal berkuasa. Mahu kekal disanjungi. Jalan ke hulur hilir orang bentang karpet, tunduk kepala tanda hormat. Yelah, di dunia bolehla.. Tapi di akhirat? Setiap dosa rakyat di bawah pimpinan seorang pemimpin, akan ditanggung oleh pemimpin itu sendiri. Dah sedia ke nak tanggung semua tu, hingga boleh jalan dengan bangga di dunia ni?

Saya merujuk ini kepada dunia ya, bukan skop Malaysia atau Asia semata-mata. DUNIA ya. Ya, DUNIA yang fana ini ya!

Dunia ini memang ajaib, kan? :)

Wallahu'alam, wassalam.

p/s : Andai ada salah fakta, sila tegur dan betulkan ya. Saya sedang mengaplikasi apa yang saya pelajari. Harap maklum. Sekian, terima kaish :)

0 love letta(s):